Home » , » Jangan swastakan GLC demi hak Bumiputera, gesa DPIM

Jangan swastakan GLC demi hak Bumiputera, gesa DPIM

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim menggesa kerajaan mengkaji semula dasarnya mahu menswastakan ataupun melupuskan pegangannya dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) bagi mengelakkan kepentingan ekonomi golongan miskin Melayu dan Bumiputera terus terhakis.



Beliau berkata, tindakan tidak bersetuju dengan kerajaan itu bukan bermakna DPIM antipenswastaan, tetapi GLC adalah satu institusi penting yang mampu membantu ekonomi Bumiputera negara ini yang semakin lama semakin menemui kegagalan. "Pada pendapat saya, adalah tidak munasabah pelupusan pegangan dilakukan atas alasan untuk memenuhi keperluan para pelabur swasta dalam pasaran modal. "Menswastakan GLC, kerajaan memindahkan hak milik ekuiti amanah rakyat Malaysia yang miskin dan berpendapatan rendah untuk meningkatkan kekayaan golongan pelabur saham swasta, yang umumnya berpendapatan tinggi. "Ini membelakangkan slogan Rakyat Didahulukan," kata beliau kepada pemberita selepas majlis perasmian Jihad Bisnes Satu Pendekatan Bagi Memajukan Ekonomi Bangsa anjuran Gagasan Badan Ekonomi Masyarakat Bumiputera (Gabem) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala berkata, pelupusan atau penswastaan itu termasuk mengurangkan pegangan atau menjual pegangannya kerajaan dalam GLC. Menurut Idris, langkah itu merupakan sebahagian daripada Inisiatif Pembaharuan Strategik yang membabitkan peranan kerajaan dalam sektor swasta. Pada Mac 2010, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan sudah mengarahkan Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya mempercepatkan langkah melupuskan pegangan ekuiti di dalam GLC untuk menjadikan pasaran modal lebih menarik bagi para pengurus dana. Bagaimanapun, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pengurangan pegangan di dalam GLC oleh cabang pelaburan kerajaan itu dan KWSP tidak akan menjejaskan kepentingan negara kerana ia dilindungi melalui pegangan saham emas di dalam pelaburan strategik serta pemantauan oleh pengawal atur mengenai apa yang dilakukan oleh syarikat berkenaan.

Penganalisis berkata usaha berterusan untuk mengurangkan pegangan kerajaan akan menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa yang akan membawa masuk nilai tambah kepada pegangan saham korporat serta menjadikan Bursa Malaysia lebih menarik kepada para pengurus dana asing. Mengulas lanjut, Muhammad Ali berkata, kewujudan GLC dilihat banyak memainkan peranan memajukan ekonomi orang Melayu, malah berjaya merekod prestasi menggalakkan dan berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. "Jika ia dilakukan bertujuan meringankan beban rakyat, kenapa syarikat GLC yang berjaya membantu orang Melayu mahu dilupuskan? Saya mempersoalkan hal ini kepada kerajaan. "Justeru, tidak ada sebab lagi peranan mereka harus dicurigai," kata beliau lagi.

Muhammad Ali menegaskan, jika kerajaan tetap mahu menswastakan GLC, beliau mahu ia diwakafkan kepada orang yang baik, yang mampu menguruskan dengan penuh amanah demi masa depan dan nasib orang Melayu. "Sekalipun GLC bukan milik individu Melayu, ia adalah milik amanah yang harus dipegang untuk manfaat generasi masa depan. "Syarikat GLC sewajarnya diiktiraf sebagai korporat amanah negara untuk menegakkan keadilan ekonomi dan melindungi kepentingan golongan miskin dan lemah," katanya.

Muhammad Ali turut mengingatkan bahawa 'kebocoran besar' hak milik ekonomi Melayu telah berlaku sebelum ini setelah kerajaan menswastakan pegangan hak milik ekuiti GLC. "Lebih membimbangkan, tanpa strategi ekonomi Melayu baharu yang mapan, langkah pelupusan ini pasti akan diikuti oleh tindakan lebih besar melupuskan GLC kelak. "Antara syarikat GLC seperti Felda, Lembaga Tabung Haji, Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad, Johor Corporation Berhad dan Petronas yang disifatkan sebagai tonggak serta benteng terakhir dalam mempertahankan keadilan hak milik ekonomi negara,"katanya.

Sinar Harian



Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Maskolis | Johny Portal | Johny Magazine | Johny News | Johny Demosite
Copyright © 2011. Pakatan Rakyat Supporter - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website Inspired Wordpress Hack
Proudly powered by Blogger