Home » , » Merdekakah kita..?

Merdekakah kita..?

Salam,
Merdekakah kita ........?
Apa yang kita faham tentang maksud kemerdekaan....?
Kebanyakan daripada kita akan mengatakan yang kita sudah merdeka dan tidak dijajah lagi, kita bebas hidup dengan aman, boleh menjalani kehidupan dengan selesa. Secara subjektif dan praktikalnya memanglah itu realiti yang berlaku dinegara kita. Negara kita adalah sebuah negara Merdeka yang diperintah oleh bangsa kita sendiri. Tapi jika renung kepada skop yang lebih luas maksud kemerdekaan itu bukanlah hanya sekadar bermaksud mengakhiri penjajahan sesuatu kuasa asing kepada kita tetapi juga bermaksud mengakhiri penjajahan sesuatu bangsa ke atas bangsanya sendiri.

Serangan pertama Portugis ke atas Melaka pada tahun 1509 di bawah pimpinan Diego Lopez de Sequiera berjaya dipatahkan tentera Melaka tetapi Portugis melanggar lagi pada 1511 dipimpin Alfonso de Albuquerque. Tepat waktu subuh Ogos 24, 1511, lepas solat subuh, Melaka mula secara sedikit-sedikit jadi makanan Portugis. Bermulalah era penjajahan keatas bangsa Melayu, kerajaan Melayu, adat resam Melayu. Segala yang Melayu ‘diPortugiskan’ oleh mereka, dan segala yang Portugis, kekal jadi Portugis. Portugis duduk menjajah seratus tahun lebih. Jadi raja yang batil. Jadi tuan memerintah tanah asing. Dari sini, timbullah nama-nama pembela bangsa seperti Hang Nadim, Pangliam Awang, Raja Haji, Daeng Kemboja, Patih Unus dan ramai lagi disertai tentera pembela maruah dari segenap pelusuk Nusantara seperti Aceh, Jawa dan Demak bergilir-gilir menentang Portugis.

Panglima Awang yang melarikan diri dari pelayaran Ferdinand Magellan manjadi manusia pertama mengelilingi dunia (jika diambil kira asal usulnya dari Melaka kemudian belayar ke Eropah, sebelum kembali ke kepulauan Melayu dan Melaka secara amnya) dalam tahun 1521 kembali menyerang untuk membebaskan Melaka dari tangan Portugis. Perjuangan beliau disambung oleh anaknya selapas kematian beliau. Tak lama selepas itu, Laksamana Hang Nadim muncul pula berjuang dan mendapatkan semula Melaka dalam tahun 1525 iaitu 14 tahun selepas Portugis berkuasa. Tapi tak lama, Portugis merampas semula Melaka. Dalam tahun 1615 – 1629, angkatan tentera Aceh pula menyerang Melaka dan berjaya menawan Melaka selama beberapa bulan, sebelum jatuh lagi ke tangan Portugis dan kekal dijajah…
Selepas habis zaman Portugis lebih kurang 125 tahun, mereka dinyahkan dari bumi Nusantara oleh Belanda. Belanda juga tak kurang rakus dan lahapnya. Semua Melayu yang telah ‘diPortugiskan’ oleh Potugis, ‘diBelandakan’ pula oleh Belanda. Belanda duduk 100 tahun lebih juga. Kehebatan Belanda membuatkan mereka menyewa Tanah Melayu selama 154 tahun bermula dari 1641 sehingga tahun 1795. Selama berabad-abad dua kuasa besar dunia telah pun menjajah kita.


Inggeris masuk ke Melaka dalam tahun 1795 dan mengambil alih pentadbiran sementara dari Belanda akibat 'Napoleonic War' di Eropah. Dalam tahun 1824 mula menduduki Melaka secara sah dan menawarkan perikatan pada Belanda. Dalam tahun 1824, Perikatan Belanda -Inggeris pun dimertai. Bengkulu tempat permainan Laksamana Hang Tuah dan sahabat handai jadi pertukaran. Inggeris menyerahkan Bengkulu pada Belanda dan Melaka jatuh ke tangan Inggeris pula. Antara hasil dari Inggeris yang nampak hari ini ialah nama Bengkulu di abadikan sebagai nama jalan di Singapura dan dikenali dengan nama Bencoolen Street…Kehebatan Inggeris lebih terserlah dalam era-era berikutnya bila mula campur tangan dalam kuasa raja-raja Melayu. Institiusi raja-raja mula diperkotak-katikkan dan dilambung-lambung maruah bangsa sebelum dipijak lumat. Sistem Gabenor diperkenalkan dan secara langsungnya melumpuhkan Perlembagaan Diraja. Dari era inilah bermulanya perjuangan fasa ke dua. Dari sini bangkitnya nama-nama pembela bangsa Melayu seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Si Bongkok Tanjung Puteri, Datuk Maharaja Lela dan ramai lagi yang telah dilupakan dan hampir luput nama meraka dari lipatan sejarah dan dari buku-buku teks sejarah sekolah menengah..

Kemudian Jepun memasuki Tanah Melayu pada 1942. Keganasan dan kezaliman tentera Jepun membuatkan Melayu jadi lebih lemah dan menikus lari mencari tempat selamat. Ketakutan besar dari kalangan penduduk Melayu, Cina dan India telah menghasilkan MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) dan bersekutu dengan Inggeris menentang Jepun. Selama lebih kurang 3 tahun lebih MPAJA menentang Jepun dengan cara perang gerila akhirnya penjajahan Jepun ditamatkan selepas menyerah kalah dalam Perang Dunia II, pemerintahan di Tanah Melayu secara amnya disambung semula oleh Inggeris @ British.


Apabila Inggeris ingin wujudkan Malayan Union iaitu Negeri-Negeri bersekutu Tanah Melayu. Dari sini, KKM, PKMM, PKM dan parti-parti yang dilabelkan berhaluan kiri mula ‘memberontak’ mencabar kewibawaan Inggeris yang belum mahu memberi kemerdekaan atau dalam erti kata lain, masih ingin ‘tinggal’ di Tanah Melayu. Perkataan parti berhaluan kiri memberontak hanya dapat didengar dan dibaca dari mulut dan buku-buku hari ini kerana mereka-mereka ini menentang Inggeris dan UMNO secara amnya walhal, parti-parti tersebut juga adalah sebuah pertubuhan yang menuntut kemerdekaan tanah air. Mereka juga adalah pejuang bangsa, membela nasib rakyat tanpa mengira bangsa dan asal usul. Dari sini, timbullah nama-nama yang kini telah 100% hilang dari lipatan sejarah negara. Mereka-mereka ini 100% telah dilabelkan sebagai penjahat, pemberontak, pengganas dan perosak imej negara. Kisah-kisah seperti peristiwa Bukit Kepong diperbesarkan dan semua jari menunding menyalahkan PKM walhal, jika kita kaji dan selidik ‘kisah di sebalik kisah’ peristiwa Bukit Kepong, pasti akan penuh tanda tanya…? Walau bagaimana pun, nama-nama seperti Ahmad Boestaman, Rashid Maidin, Mokhtaruddin Lasso, Arshad Arshaari, Chin Peng, Abdullah C.D, Shamsiah Fakeh, Mat Indera dan beberapa nama lagi yang buta-buta dianggap sebagai musuh negara. Kebanyakkan nama dari golongan pejuang-pejuang ini telah dilabelkan sebagai musuh adalah kerana mereka-mereka ini telah giat menentang Inggeris selain dari UMNO. UMNO yang sememangnya diketahui bersekongkol dengan British. Kenapa aku berkata begitu....Kerana pada masa darurat diistiharkan pada tahun 1948 hanya Umno sahaja yang tak diharamkan.

Bilamana UMNO yang menjadi kuda tunggangan British di Tanah Melayu mula berkuasa, maka kita ‘dimerdekakan’ dengan syarat menggunakan undang-undang yang dikarang British dengan mengenepikan undang-undang Islam dan Al-Quran khususnya (Undang-Undang Reed). Menegaskan tidak boleh berlaku sebarang rusuhan yang membabitkan perkauman dalam tempoh 50 tahun kemerdekaan (Ini adalah antara sebab-sebab mengapa kisah-kisah seperti 13 Mei 1969, Peristiwa Memali 1985, Reformasi 1998, Kisah pertembungan kaum di Kampung Melayu Subang dan beberapa kisah lagi telah digelapkan dari media cetak dan elektronik tempatan. Pemanipulasian fakta berlaku. Pengawalan minda dan media menjadi strategi kawalan yang efektif sepanjang pemerintahan Umno. Segala bentuk maklumat hanya ditanamkan oleh media yang dikuasai. Kebebasan untuk bersuara disekat. Dan berbagai-bagai undang-undang sekatan diwujudkan demi kesinambungan kekuasaan.


Sudahnya sehingga hari ini, UMNO terus memerintah dengan menidakkan suara rakyat.  ISA (Internal Act Security) atau Akta Keselamatan Dalam Negeri yang ditubukan di Malaysia pada tahun 1960 bertindak untuk melindungi ’kisah-kisah dalaman’ para politikus tempatan. Bertindak untuk menghalang kebebasan bersuara khalayak. Getar-getar suara rakyat, disekat secukupnya. Jadi merdekakah kita sebagai rakyat yang tinggal dalam sebuah negara yang merdeka?

Anak-anak kita hari ini termasuk yang tua-tua tuli digula-gulakan dengan hebat sekali bahawasanya UMNO adalah pemimpin. Perdana Menteri adalah Pemimpin walhal mereka itu adalah pemerintah! Sebuah parti politik yang memerintah sebuah negara. Perdana Menteri sebagai pemegang tampuk sesebuah pemerintahan. Kapten kepada sebuah kapal. UMNO yang dikatakan membela nasib anak bangsa Melayu kini membiarkan anak bangsa terus layu. Saham yang diamanahkan kepada kaum bumiputra pun lenyap entah kemana. Dasar yang dilaksanakan untuk bumiputra pun gagal mencapai matlamat yang ditetapkan. Tiada apa pun yang boleh dibanggakan sehingga kini pun masih belum wujud Universiti atau pusat pengajian tinggi Melayu secara sendirian berhad. Yang ada untuk dibanggakan tinggal UiTM. Itu pun kerajaan punya, bukan bersifat sendirian berhad. Sedangkan bangsa lain dah ada ‘Private University’ walaupun hanya bertaraf ‘Kolej Universiti’ seperti Universiti Lim Kok Wing, Universiti HELP, Universiti Sunway dan beberapa nama lagi yang rata-rata dimiliki oleh bangsa asing.

UMNO yang dikatakan membela nasib anak bangsa membiarkan berbagai-bagai gejala sosial berlaku dan berleluasa. UMNO yang kononnya dikatakan sebuah parti Islam contoh membiarkan kelab-kelab malam dibuka merata selain bertari-tari sampai subuh. Masjid-masjid dibina hanya untuk kemegahan dan sebagai simbolik sahaja. Islam tak diangkat selaras dengan agama rasmi negara....dan berbagai-bagai lagi.
Hmm.. Entah lah… Banyak lagi sebenarnya perkara yang aku nak tulis pasal Untuk Melayu No Otak ni. Tapi malaslah… Terlalu banyak kepesongan mereka ni yang aku nampak. Terlalu banyak ketidak adilan berlaku. terlalu kotor permainan politik mereka. Jadi benarkah merdeka? Bila sejarah bangsa dan tanah air diubah suai sana sini. Fakta bersepah dan digelapkan dari generasi akan datang. Bila kerajaan-kerajaan Melayu dulu menggunakan Islam dan Al-Quran jadi panduan dan undang-undang, mereka-mereka ini pula sesuka hati mengubah guna tulisan manusia buat jadi pedoman. Pak-pak menteri pula bertopengkan muka-muka baik, bibir ‘pink’ tanda mulus, kulit putih melepak tanda suci konon… Ya Allah… Tunjukkan lah kebenaran dalam masa terdekat ini. Amin!
Aku masih tetap menganggap bahawasenya kita masih belum merdeka secara total selagi  orang melayu masih hidup dalam kelompok-kelompok tertentu dengan kumpulan berkuasa menjajah kumpulan yang tak berkuasa. Kumpulan tiada kuasa berterusan ditekan dengan berbagai-bagai sekatan dan penindasan.....Ini adalah satu bentuk penjajahan baru sekaligus yang mengesahkan sebenarnya tiada kemerdekaan dalam erti kata sebenar.
Persoalannya......
Merdekakah kita..?.......Hu hu hu...

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Maskolis | Johny Portal | Johny Magazine | Johny News | Johny Demosite
Copyright © 2011. Pakatan Rakyat Supporter - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website Inspired Wordpress Hack
Proudly powered by Blogger