Home »
Malaysia
,
Wilayah
» NAIK CUKAI PERKHIDMATAN, CUKAI YANG MEMISKINKAN RAKYAT, KERAJAAN TETAP BELANJA BOROS
NAIK CUKAI PERKHIDMATAN, CUKAI YANG MEMISKINKAN RAKYAT, KERAJAAN TETAP BELANJA BOROS
Salam,
Sewaktu pembentangan Belanjawan Negara 2011, kerajaan telah meningkatkan kadar cukai perkhidmatan dari 5% kepada 6% ke atas:
•Semua perkhidmatan bercukai kecuali kad kredit dan kad caj.
•Mengenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar.
Menurut Jabatan Kastam Malaysia, perkhidmatan bercukai yang ditakrifkan antaranya seperti berikut;
•Kumpulan hotel termasuk rumah rehat, homestay, resort, motel, perkhidmatan rumah urut, apartment yang melebihi 25 buah bilik.
•Kumpulan restoran di luar hotel yang mempunyai nilai jualan setahun melebihi RM3 juta.
•Kelab malam, dewan tari menari, cabaret, pusat kesihatan, dan rumah urut.
•Penyedia insurans yang berdaftar, misalnya semua jenis polisi insurans kepada semua pertubuhan perniagaan, dan perkhidmatan insurans yang dibayar oleh syarikat untuk kakitangan syarikat.
•Perkhidmatan telekomunikasi dalam bentuk telefon, faksimili, telefon selular, postpaid, prepaid dan talian tetap dan jalur lebar.
Cth Kajian kes McDonalds
Seseorang yang berbelanja di restoran Pizza Hut, McDonalds, OldTown Kopitiam terpaksa membayar cukai perkhidmatan 6% berbanding 5% sebelumnya. Sekiranya begitu, restoran-restoran berkenaan juga dikatakan mempunyai nilai jualan tahunan sebanyak RM3 juta dan ke atas. Contohnya, jumlah bayaran yang dibuat di restoran McDonalds untuk sebelum dan selepas kenaikan kadar cukai perkhidmatan;
6% X RM21.60 (Nilai belian di McDonalds) = RM1.30. Jumlah bayaran kepada restoran tersebut adalah RM22.90.
5% (Cukai perkhidmatan sebelum 2011) X RM21.60 (Nilai belian di McDonalds) = RM1.10. Jumlah bayaran kepada restoran tersebut adalah RM22.70.
Berdasarkan kepada pengiraan di atas, jelas menunjukkan berlaku kenaikan 20 sen dalam pembelian di restoran McDonald! Naik 1% bermakna pengguna terpaksa membayar 20 sen untuk nilai belian RM21.60 dan semakin tinggi nilai beliannya, semakin tinggilah nilai cukai perkhidmatan yang dikenakan yang akhirnya akan menjadi sebahagian statistik semasa jadual IHP.
Cukai tersembunyi
Tidak ramai rakyat yang mengetahui bahawa kesan negatifnya sekiranya cukai perkhidmatan ini dikenakan walaupun ia tertera dalam resit pembelian, namun berapa ramaikah yang menyimpan resit setiap kali pembelian dan membuat penjumlahan di akhir tahun? Berapakah jumlah cukai perkhidmatan yang dibayar oleh setiap individu kepada kerajaan setiap tahun? Dan berapa ramaikah yang mengetahui bahawa terdapat 37,028 premis perniagaan seluruh negara yang berhak mengutip cukai perkhidmatan? Inilah perkara yang cuba disembunyikan oleh kerajaan dengan harapan rakyat terus bersikap pasif.
Ekonomi bawah tanah (underground economy)
Akibat daripada kelemahan kerajaan, tanpa mempunyai maklumat dan informasi cukai perkhidmatan yang sah, rakyat terus dibebani dengan para peniaga restoran yang mengambil kesempatan yang mengenakan cukai perkhidmatan pada kadar 5% hingga 10%. Menurut Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), dari tahun 2008 sehingga Mac 2010, sejumlah 132 aduan pengguna telah diterima yang mendakwa telah dikenakan cukai perkhidmatan 5% - 10% tanpa kebenaran pihak berkuasa. Ini sekaligus mengesahkan kewujudan aktiviti ekonomi bawah tanah (underground economy) yang berlaku kerana tiada penguatkuasaan undang-undang yang berkesan.
Hasil lumayan cukai perkhidmatan
Kenaikan mana-mana kadar cukai bukanlah suatu tindakan yang digemari rakyat apatah lagi pada kali ini, kerajaan turut memasukkan cukai perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar dalam usaha menampung pendapatan negara. Pada Belanjawan 2010 lalu sahaja, kerajaan memperkenalkan cukai perkhidmatan kad kredit yang telah menjana pulangan hasil yang dianggarkan sebanyak RM331 juta setahun. Dan kenaikan 1% cukai perkhidmatan juga akan memberikan pulangan hasil sebanyak RM680 juta tanpa mengambil kira prospek pertumbuhan ekonomi pada tahun 2010 dan 2011. Berdasarkan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2011, hasil cukai perkhidmatan adalah berjumlah RM4.1 bilion, berbanding RM3.9 bilion pada tahun 2010.
Kepada 3 juta pelanggan Astro seluruh negara misalnya, yang membayar yuran dalam lingkungan RM100 sebulan atau RM1,200 setahun, mereka terpaksa membayar tambahan sebanyak RM6 atau RM72 setahun sekiranya cukai perkhidmatan 6% dilaksanakan. Malah, Ernst & Young pula menganggarkan tambahan RM148 juta lagi akan dimasukkan ke dalam tabung perolehan kerajaan berdasarkan audit kewangan tahunan Astro 2009.
Lebih daripada itu, kerajaan pasti menikmati kutipan hasil cukai perkhidmatan yang lumayan dengan penyenaraian stesen penyiaran televisyen berbayar seperti Astro dan pengecualian duti import untuk barangan-barangan berjenama seperti mana yang dibentangkan oleh kerajaan dalam Belanjawan Negara 2011. Menyedari lumayannya hasil cukai perkhidmatan, adakah mustahil kerajaan akan meningkatkan kadar yang lebih tinggi di masa akan datang?
Kesimpulan
Apa yang lebih mengecewakan adalah sikap kerajaan yang boros berbelanja dan menguruskan wang rakyat dengan tidak bertanggungjawab adalah perkara yang harus ditangani terlebih dahulu sebelum bertindak menaikkan kadar cukai. Perkara ini samalah seperti menarik wang subsidi minyak berjumlah RM750 juta dan berbelanja RM900 juta sebagai bonus untuk tujuan politik.
Dengan mengurangkan kos pengawalseliaan akibat masalah struktur ekonomi negara, dana tersebut dapat disalurkan dan dimanfaatkan secara langsung oleh rakyat terbanyak. Apabila peningkatan gaji tidak sejajar dengan peningkatan tekanan hidup, rakyat memerlukan pendapatan boleh guna yang lebih banyak. Kenaikan harga dan inflasi merupakan salah satu masalah yang membebankan rakyat terbanyak dalam hal ini.