Home » , » Winnnable candidates - Losable candidates

Winnnable candidates - Losable candidates

Calon-calon pilihanraya (samaada yang dah jadi YB @ yang baru mencuba menjadi YB) terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama, penyandang jawatan iaitu wakil rakyat yang boleh terpilih kembali menjadi calon manakala kategori kedua, adalah calon muka-muka baru (new candidates). Di antara kedua-kedua kategori calon tersebut, calon penyandang jawatanlah yang lebih risau, gusar @ tertanya-tanya apakah mereka akan dipilih semula sebagai calon atau digugurkan dan diganti oleh muka baru. Pada saat inilah, kualiti dan prestasi kerja menjadi ukuran.


Calon-calon yang boleh menang atau winnable candidates, mereka lazimnya tenang bagai pelajar cemerlang prestasinya kerana tekun membuat homework. Mereka tidak seperti calon yang boleh kalah atau losable candidates yang berperangai seperti pelajar yang suka buat kerja last minute. Mereka akan menanti panggilan telefon dari petugas pemimpin parti. Kalau terpilih, okey. Jika sebaliknya, tidak mengapa. Sebaliknya, penyandang jawatan yang menjadi calon-calon yang boleh kalah ini lain pula gelagatnya. Mereka tidak senang duduk, sebaliknya mereka akan melangkah ke sana ke mari melobi dan mencari jalan agar terpilih kembali menjadi calon.

Pada ketika ini prestasi mereka tiba-tiba memuncak, kekuatan menjadi berkali ganda, bagaikan mendapat seperti satu kuasa baru dan mereka mampu menjelma di mana-mana majlis yang dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti. Jika tidak terpilih bersama delegasi pemimpin parti ke luar negara, mereka akan pergi sendiri dan akan menyelit menunjuk muka di mana sahaja pemimpin mereka pergi agar wajah mereka tidak dilupakan oleh pemimpin parti. Mereka akan mula petah bercakap, mempertahankan serangan, menyerang rakan-rakan parti yang bermasalah, membuka isu-isu baru yang kadang-kadang mereka sendiri tidak tahu sebaliknya apa yang diutarakan hanyalah pusingan isu sahaja. Ibarat pendekar mereka akan terus berhujah, tetapi hujahnya bersandarkan emosi dan bukannya fakta. Mereka boleh bersyarah dengan penuh bersemangat, tetapi sekadar berani di hadapan pengikut-pengikutnya yang sudah pasti akan memperdengarkan riuhnya tepukan. Jika dipinta untuk menjawab apa yang dilontar oleh parti lawan, mereka lebih rela mendiamkan diri kerana takut tersalah cakap, langsung jatuh saham menjadi calon semula.

Ketika mahukan undi dahulu, bermacam-macam janji bulan dan bintang ditaburkan. Setelah menang pilihan raya, bulan yang terang menjadi gelap, bintang yang bersinar menjadi malap. Ketika sebelum menjadi calon dahulu, mereka ini kerap menemui para penduduk (pengundi). Tetapi selepas menjadi calon mereka ini masih juga datang lagi (tapi semakin jauhlah datang hanya kerana ada program dilangsungkan bukan seperti sebelum menjadi calon, bila dengar cucu tok penghulu nak bersalin pun mereka muncul). Jika dahulu dia melidi, kini tubuhnya sudah membulat. Jika dahulu jalan menunduk, kini asyik memandang ke langit, seolah-olah memandang pencakar langit di kampung. Dahulu berkereta nasional, kini berkereta internasional (jaga standartlah katakan).

Inilah bakal-bakal calon yang boleh kalah. Mereka bukan sahaja tidak akan memperoleh undi baru, malah undi dahulu daripada jiran, saudara-mara, teman sekolah, sekuliah, sekampus, sepejabat, sekampung, setaman, seqariah atau sejemaah tidak akan diperolehi lagi. Para penyandang jawatan yang mempunyai ciri-ciri ini, bersedialah untuk menutup telefon anda bila tidak terpilih lagi kerana anda adalah calon yang boleh kalah. Lagi pun, tiada sesiapa pun yang akan menghubungi untuk menghulurkan simpati.

SINAR HARIAN

p/s : Namun perkara ini masih tidak menjamin 100% kemenangan @ kekalahan kerana trend politik baru lebih memilih kepada parti berbanding calon. Mereka lebih melihat kepada nakhoda daripada kapten kapal kerana Nakhodalah yang akan menentukan kemana kapal tersebut akan belayar.




Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Maskolis | Johny Portal | Johny Magazine | Johny News | Johny Demosite
Copyright © 2011. Pakatan Rakyat Supporter - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website Inspired Wordpress Hack
Proudly powered by Blogger