Untung atau Hutang ?
Adalah dianggarkan bilangan peneroka dalam semua rancangan tanah FELDA berjumlah kira-kira 113,000 orang. Rata-rata peneroka asal diberi pinjaman lebih kurang RM30,000 seorang untuk belanja semua jenis kerja membangunkan tanah. Ada kerja yang peneroka lakukan sendiri dan ada yang dilakukan secara kontrak melalui pengurusan FELDA. Hutang harus dibayar dalam tempoh 15 tahun. Ada yang mengambil masa lebih lama dari itu. Untuk membayar hutang, pendapatan yang peneroka perolehi dari menjual hasil kepada pengurusan FELDA dipotong di pangkal. Sehingga tahun 2000 semua peneroka telah melunaskan hutang mereka. Sepatutnya selepas itu secara automatik peneroka harus diberikan geran milik tanah. Sebaliknya mereka terpaksa meminta dan tidak diberikannya dengan mudah. Yang sering berlaku ialah peneroka dengan berbagai-bagai cara diminta atau dipaksa menyerahkan milik tanah mereka supaya menjadi semacam pemegang saham dalam Felda Plantations. Tidak semua yang bersetuju. Mereka yang bersetuju diikat dengan pinjaman bagi kali kedua untuk menanam semula kebun dan membina rumah baru. Jumlah hutang kali kedua ini sekitar RM70,000. Sebagai pemegang saham mereka diberikan bayaran sebanyak kira-kira RM1200 sebulan yang boleh dianggap seolah sebagai "dividen", yang dibayar setiap bulan. Ramai peneroka menanggung hutang lagi sewaktu umur sudah lajut dan bagi sesetengah peneroka hutang ini mungkin tidak langsai lagi apabila mereka mati.Walaupun demikian, tidak kurang pula mereka yang berasa gembira kerana menerima pendapatan bulanan dengan bergoyang kaki saja tanpa perlu membuat sebarang kerja. Sesetengah mereka menganggap pendapatan ini sebagai bayaran "pencen" semasa tua. Kadang-kadang mereka lupa tentang bebanan hutang yang mereka pikul. Sistem ini tidak memerlukan mereka bekerja dan bahkan mengalakkan mereka menjadi malas. Pada hakikatnya pendapatan peneroka yang diserap ke dalam Felda Plantations menerima pendapatan jauh lebih kecil dari pendapatan para peneroka yang mengambil geran dan menguruskan tanah sendiri. Misalnya, didapati bahawa semasa kelapa sawit mengalami harga yang tinggi, peneroka yang menguruskan tanah sendiri boleh mendapat pendapatan sampai RM5000, iaitu 4-5 kali ganda dari apa yang diperolehi peneroka yang menyertai Felda Plantations itu. Peneroka yang terlibat dengan FELDA Holdings sering dalam kerugian. Bukan saja pendapatan mereka kecil, bahkan mereka memikul bebanan hutang yang banyak. Pendapatan mereka merudum turun, kadang-kadang menghampiri sifar apabila harga kelapa sawit turun terlalu rendah. Kehidupan keluarga sempit dan masa depan kebanyakan anak cucu mereka tidak terjamin.
Nasib Generasi Kedua ?
Seperti yang diterangkan di atas, selepas pembentukan Felda Plantations, tidak ada lagi tanah dibuka untuk peneroka baru. Ertinya, sudah dinafikan peluang untuk petani miskin yang ketiadaan atau kekurangan tanah untuk mendapat tanah. Tiada juga peluang untuk generasi kedua dan ketiga (anak serta cucu peneroka asal) walaupun tiada pekerjaan atau tidak bertanah. Mereka tidak ada peluang pekerjaan lain dan tidak dapat mengikut jejak bapa atau datuk mereka. Bilangan pekerja di bawah FELDA Holdings (yang meliputi semua anak syarikatnya) berjumlah kira-kira 19,000 orang. Ini tidak termasuk peneroka dan pekerja ladang. Kebanyakan pekerja ladang dalam Felda Plantations terdiri dari pendatang luar negara. Begitu juga dengan pekerja-pekerja kontrak yang digunakan untuk kerja-kerja khusus seperti menanam semula di bawah kelolaan Technoplant. Bilangan orang tempatan kecil. Walaupun ada anggapan konon generasi kedua peneroka tidak suka menjadi "kuli ladang", namun maklumat yang dikumpul menyatakan ada di antara mereka yang memohon tidak diterima. Ada anggapan kononnya mereka ini tidak bersedia bekerja sekuat pekerja-pendatang yang dibayar gaji agak rendah, tidak mendapat syarat-syarat perkhidmatan yang baik dan mudah pula dikawal. Tiada gaji tetap bagi mereka. Ada yang merasakan seolah-olah mereka bekerja sebagai hamba.Seterusnya, ramai anak peneroka Felda mempunyai kelayakan atau kelulusan dari pusat-pusat pengajian tinggi. Di antara mereka ada yang telah mendapat biasiswa di bawah rancangan bantuan FELDA Holdings. Sepatutnya mereka ini diberikan keutamaan menjadi pegawai dalam FELDA Holdings atau anak-anak syarikatnya. Akan tetapi tidak. Walaupun ada yang diambil bekerja, saya diberitahu peratusannya adalah kecil. Terdapat anggaran bahawa bilangan generasi kedua dan ketiga Felda menghampiri 800,000. Bilangan sebenar boleh jadi lebih kecil dari itu. Berdasarkan bilangan 113,000 keluarga peneroka dan anggapan setiap seisi rumah terdiri dari 5-6 orang, di anggar bilangan mereka mungkin dalam lingkungan 500 hingga 600 ribu.
Yang lebih penting dan serius dari angka ini ialah sebahagian besar dari mereka yang tidak berpeluang mendapat pekerjaan di tempat lain masih tinggal bersama-sama keluarga merek di rancangan Felda. Ramai dari mereka dalam keadaan menganggur. Mereka terbiar. Bermacam-macam masalah sosial timbul di kalangan mereka akibat pengangguran itu.Bilangan mereka yang terlibat dengan pencurian, penyalahgunaan dadah, perbuatan-perbuatan sumbang dan menjadi Mat Rempit dan macam-macam lagi, sangat besar. Hal-hal ini buruk akibatnya dalam masyarakat peneroka dan serius implikasinya ke seluruh negara. Malangnya hampir kesemua mereka ini terdiri dari muda-mudi Melayu.
SYED HUSIN ALI