Kisah Benar Melayu/ Islam Berlindung Di Gereja
Harapan Komuniti – NGO yang menganjurkan majlis makan malam amal yang diserbu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu kerana didakwa ada kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam – tampil membuat penjelasan tentang apa yang berlaku pada malam tersebut.
Pengarah eksekutif NGO itu – yang membantu golongan miskin dan ‘melarat’ dan penghidap HIV dan AIDS – Raymond Koh berkata majlis kesyukuran/makan malam amal itu dihadiri penderma, rakan-rakan serta penerima bantuan Harapan Komuniti” sebelum ia diserbu 30 pegawai penguatkuasa JAIS dan polis.
Katanya, Harapan Komuniti adalah sebuah pertubuhan bukan keuntungan, yang berkhidmat untuk membawa kasih sayang, harapan, keamanan dan maruah kepada golongan yang memerlukan, orang miskin, kanak-kanak, wanita dan penghidup HIV dan AIDS.
Sementara peguam mereka pula, Annou Xavier berkata Malaysia sepatutnya bernasib baik kerana mempunyai pertubuhan seperti Harapan Komuniti yang memberi “harapan” kepada golongan yang memerlukan, orang miskin dan golongan terpinggir.
Bagaimanapun, katanya, pada “malam yang malang itu”, JAIS sebaliknya menyerbu majlis amal kesyukuran tersebut, atas andaian bahawa berlaku kes penukaran agama.
Contohnya di sebuah gereja yang terletak di atas bukit di Batu Arang, Rawang, Selangor.
Ada pihak yang mendakwa ia bukanlah gereja daripada erti kata yang sebenarnya, tetapi sudah bertukar menjadi Rumah Perlindungan HIV yang dikendalikan sekumpulan mubaligh Kristian.
Ia ada salib yang besar, setiap pintu bilik digantung gambar Jesus Christ, ada kata-kata yang dipetik dari buku Bible dan terdapat sebuah dewan syarahan besar yang penuh dengan lambang agama berkenaan.
Mereka mendakwa mereka membantu para pesakit HIV/AIDS yang terbiar di jalanan, tanpa ada niat yang ‘terselindung’. Ini kerana masyarakat Melayu atau Islam sendiri memandang keji terhadap golongan ini hingga mereka tidak tahu ke mana hendak mengadu. Akhirnya mubaligh Kristian membawa mereka ke rumah perlindungan atau gereja seperti di White House ini. Walaupun pihak gereja ada menyediakan bilik kecil yang mereka dakwa surau untuk membolehkan penghuni Islam beribadat, namun realitinya kehidupan penghuni Islam di situ tidak ada banyak bezanya dengan penghuni bukan Islam.
Menurut Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin memang ada kebenaran mengenai dakwaan pendekatan dakwah Islam lemah dari segi psikologi berbanding gerakan mubaligh Kristian. Kata Dr. Abd. Aziz, Ini kerana ramai pendakwah kita melihat kerja dakwah ialah menyebar agama kepada golongan sasar tanpa melihat keperluan dan keadaan diri mereka.Ini menyebabkan kalau keadaan itu sesuai dengan seseorang, ia akan diterima. Jika tidak, usaha itu akan gagal.
Agensi-agensi yang diberi amanah harus melaksanakan amanah mereka dengan bersungguh-sungguh.
Adalah mudah untuk mencari kesalahan tetapi itu tidak akan menyelesaikan masalah, tindakan yang pro-aktif perlu disemai dalam setiap sanubari agar golongan sebegini dapat dibantu dalam menjalani kehidupan yang singkat ini
Yang paling penting, sekiranya kita tidak mahu iman dan akidah saudara kita dipesongkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, kita sendiri terlebih dahulu kena menghulurkan tangan dan menarik mereka keluar dari segala kesulitan ini.