بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
“Ya..Allah..,lindungilah kami daripada mereka yang zalim dan mengkhianati perjuangan yang menuntut KEBENARAN dan KEADILAN ini”
“ Nabi merupakan PEMIMPIN kita dan contoh kepimpinan di sepanjang zaman. Atas nilai mencontohi kepimpinan Nabi itu, maka setiap kita adalah pemimpin dan sebagai pemimpin seharusnya kita mampu menzahirkan kepimpinan yang boleh menjadi contoh...”
“ Di rumah Allah kita menjadi imam dan makmum, manakala di luar rumah Allah kita disebut pemimpin dan rakyat. Orangnya masih sama. Khutbah dalam masjid menerangkan dasar-dasar Allah manakala ucapan di luar masjid adalah untuk melaksanakan dasar-dasar Allah...”
“ Kita hidup di dunia ini bukan setakat nak hidup sahaja tetapi nak hidup biar sampai ke akhirat. Kita bekerja biar sampai ke akhirat, kita bertani biar sampai ke akhirat bahkan kita berpolitik biar sampai ke akhirat. Macam manna nak sampai ke akhirat, kalau semasa kita buat kerja ni tak pernah fikir tentang akhirat ?...”
“ Saya adalah Menteri Besar. Dengan jawatan ini, sayalah orang pertama yang akan dipanggil oleh Allah SWT kelak di Padang Mahsyar. Soalannya yang akan ditanya, apa kamu dah buat untuk menegakkan suruhan Allah SWT ? Pada masa itu, saya akan menjawab saya sudah keluarkan arahan. Tuan-tuan semualah pula akan ditanya kemudiannya adakah arahan tersebut dilaksanakan atau tidak...”
“ Saya tidak memerintah Kelantan, saya mentadbir Kelantan. Bila disebut Kelantan, bukan negerinya, tapi rakyatnya. Tumpuan utama pentadbiran ialah qalbu manusia. Kita mesti jaga qalbu manusia, kerana qalbu ini sengaja Allah SWT ciptakan untuk diisi dengan yang buruk dan baik. Dengan kita jaga qalbu manusia, dengan automatik terjaga habis, ekonomi manusia, sosial manusia, budaya manusia dan aqidah manusia...”
“Para Nabi tidak diutus untuk mengajar manusia membangunkan bumi ini semata-mata, tetapi apa yang lebih penting ialah bagaimana untuk menyelamatkan diri di akhirat kelak...”
“Bila kita membeli belah di kedai, kita tukarkan duit dengan barang. Oleh yang demikian, kita tidak sayang belanjakan duit kerana nampak barang di depan mata. Namun, sedarkah kita bila kita laburkan duit untuk kebaikan, seperti kita membeli pahala dengan duit kita. Walaupun pahala ini benda yang tidak nampak, tetapi itulah duit kita di akhirat...”
Tapak kaki kita kalau dah keras, pijak paku dan duri pun tidak terasa apa sebab tumitnya sudah keras. Tetapi kalau tapak kaki yang lembut, terpijak duri sikit sahaja sudah berdarah. Demikian jugalah hati, kalau ia dah keras tak terasa lagi bersalah kalau buat dosa.
“Saintis barat hari ini berlumba-lumba untuk mejalankan kajian benih tumbuh-tumbuhan. Benih-benih dijaga begitu elok untuk menghasilkan tanaman yang bermutu. Jika benih tumbuh-tumbuhan pun dijaga demikian rupa, kenapa tidak ‘benih tamadun’ iaitu manusia ? Lantaran itu didiklah anak-anak dengan jagaan iman dan takwa kerana dari benih inilah akan lahirnya tamadun UMMAH..InsyaAllah...”
“Hidup ini tumpang menumpang...disitulah lahirnya syukur kita kepada Allah. Pada sepinggan nasi yang kita makan, disitu ada nasi yang diusahakan oleh petani, ada ikan yang dicari oleh nelayan, ada ayam yang dipelihara oleh penternak. Betapa banyaknya pihak yang bekerja untuk memberikan sepinggan nasi kepada kita..alangkah kerdilnya kita dibumi Allah SWT...maka siapalah kita untuk menolak agama Allah...?”
“Ambil wudhu tak perlu banyak, tetapi biar sempurna. Ini kerana basuhan dengan air itu hanyalah simbolik. Yang hendak dibasuh bukanlah najis yang ada diwajah dan anggota kita, tetapi kotoran dosa yang dibawa oleh mata, mulut, telinga, tangan dan kaki...”